Bolehkah Isteri Minta Cerai Jika Tidak Puas Seks?

Soalan:

Assalammualaikum …

Teman baik wanita saya berumur 28 tahun dan mempunyai 3 orang hasil perkahwinannya selama 10 tahun. Setelah 10 tahun saya dapati kawan saya mempunyai teman dan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki tersebut. Saya cuba mencungkil punca dia bersikap curang. Dia memberitahu yang selama usia perkahwinannya bersama dia tak pernah mendapat kepuasan bersama suami. Puas sudah dia berusaha memberitahu dan membantu suami namun tetap tidak berjaya kerana mungkin suami dan ego kerana kelemahan sendiri.

Namun disebabkan itu dalam diam2 mempunyai hubungan lain bagi memenuhi seks nya. Saya ada menasihatinya untuk dan berkahwin sahaja dengan nya itu tapi dia mengatakan bolehkah isteri meminta kerana tidak puas seks, sedangkan selama berkahwin 3 orang anak sudah dihasilkan. Malu untuk mengadu dan lebih malu pada keluarga mentua dan keluarga sendiri kerana bercerai itu. Adakah contoh kes2 sebegini di am nya? Jika dia terus menerus begini bukankah berdosa dia selama2nya? Bagaimana cara untuk membantu teman saya ini?

Jawapan:

Ini bukanlah masalah pertama yang jumpa berkaitan sifat curang isteri kerana tidak mendapat kepuasan dalam hubungan seks. Kita sering mendengar kes-kes tangkap khalwat berhubung dengan orang-orang yang telah berkahwin samada dari pihak suami atau isteri.

Islam memandang berat kesalahan ini sehingga dijatuhkan hukuman rejam sampai mati! Adakah hukuman yang berat seperti ini tidak ada jalan penyelesaian yang baik untuk di atasi? Tentu sekali ada! Tapi kerana lemahnya berkaitan soal agama dan tuntutan islam, ramai yang memilih jalan mudah dengan mencari pasangan dan memuaskan nafsu dengan cara yang salah.

Apabila sepasang lelaki dan wanita maka kedua-duanya mempunyai hak dan tanggungjawab ke atas pasangannya. Antara tanggungjawab dan hak masing-masing ialah si isteri bertanggungjawab untuk melayan suaminya dan si suami pula bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada isterinya.

Dalam persoalan hubungan kelamin, ia bukan hanya hak suami yang perlu ditunaikan oleh si isteri tetapi juga hak si isteri yang wajib ditunaikan oleh si suami. Suami yang dengan sengaja tidak memberi nafkah batin dan kebendaan kepada isterinya tanpa sebab-sebab yang diterima oleh syara’ adalah berdosa.

Terdapat 2 Tuntutan Cerai Yang Boleh Di Mohon Oleh Isteri Dalam Kes Ini.

1 – Tuntutan Cerai Dengan Taklik.

Cerai taklik berdasarkan peruntukan Seksyen 50 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam ialah lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut hukum syarak dan peruntukan undang-undang. Lafaz taklik negeri adalah berbeza antara satu negeri dengan negeri lain. Hanya isteri boleh menuntut cerai taklik. Lafaz taklik perlu dibaca dan ditafsirkan secara keseluruhan, bukan separuh atau sekerat saja.

Lazimnya di Malaysia pernikahan dilakukan dengan lafaz perjanjian taklik oleh suami. Seandainya suami telah melafazkan taklik bahawa sekiranya beliau tidak memberikan nafkah zahir dan batin selama 3 bulan atau lebih si isteri boleh mengadu ke Mahkamah Syariah dan jika didapati benar aduannya maka jatuhlah satu talak.

Dalam kes di atas, pihak isteri telah menyatakan bahawa beliau tidak pernah mendapat kepuasan dalam hubungan kelamin selama perkahwinannya iaitu 10 tahun ini. Meskipun telah mendapat anak, namun itu bukanlah ukuran untuk membuktikan kepuasan seks isteri. Dalam keadaan yang sama juga si isteri telah berbincang dengan suami dan telah berusaha berkali-kali tetapi tiada tindakan serius oleh pihak suami. Dalam situasi ini pihak isteri boleh mengemukakan aduan kepada Mahkamah Syariah untuk tindakan lanjut.

2- Tuntutan Cerai Dengan Fasakh.

Fasakh mengikut Seksyen 2 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam didefinisikan sebagai pembubaran nikah disebabkan sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh hukum syarak mengikut seksyen 53.

Jika pihak lelaki mempunyai hak untuk menceraikan isteri dengan melafazkan talak, si isteri pula boleh memohon cerai dengan Fasakh. Bagaimanapun, fasakh yang boleh dituntut oleh isteri bergantung kepada beberapa keadaan yang telah ditetapkan oleh undang-undang. Untuk kes di atas, sila semak tulisan berwarna merah yang telah saya tandakan di bawah:

Semua Undang-undang Keluarga yang digubal sejak tahun 1983 mengiktiraf bahawa seorang isteri dibenarkan memohon fasakh di Mahkamah atas satu atau beberapa alasan yang telah disenaraikan dan diperuntukan dalam Undang-undang Keluarga Islam di tiap-tiap negeri. Di Negeri Perak, alasan yang disenaraikan sebagaimana yang diperuntukkan,dalam Seksyen 49, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak, Bil 13, Tahun 1984,

a) Bahawa suami telah mati pucuk dan masih lagi sedemikian keadaannya dalam masa setahun setelah dibuat pengaduan.

b) Bahawa suami telah gila atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit selama tidak ada kenyataan yang terang menunjukkan relanya dengan penyakit tersebut.

c) Bahawa izin isteri terhadap perkahwinan itu telah diberi secara tidak sah samada oleh sebab paksaan, kesilapan ketidak sempurnaan akal atau pun lain-lain sebab mengikut Hukum Syarak,

d) Bahawa pada masa perkahwinan itu, suami adalah seorang yang sakit otak (samada berterusan atau berselangan) dalam erti Ordinan sakit 0tak 1952 dari jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;

e) Atas apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh menurut Hukum Syarak”.

Manakala dalam enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan No. 1, tahun 1983, Seksyen 38 selain dari memperuntukkan sebagaimana Undang-undang Bil.13/1984 (Perak), ia juga ada memperuntukkan alasan bahawa isteri yang telah dikahwinkan oleh bapanya atau datuknya sebelum ia cukup umur mengikut Hukum Syarak yang mana ia boleh menolak perkahwinan tersebut setelah mencapai umur 18 tahun. Penambahan kepada 3 alasan yang lain sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 44 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah, Bil. 1/1984 iaitu :

a) Bahawa suaminya, kerana kepapaan tidak mampu menyarainya

b) Bahawa isterinya mempunyai kecacatan yang menghalang persetubuhan dilakukan,

c) Bahawa suaminya mempunyai kemaluan yang luar biasa.

Bagaimanapun bagi negeri-negeri Terengganu, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Selangor 28 telah memperuntukkan alasanalasannya dengan agak luas sebagaimana:

a) Tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun.

b) Bahawa suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan nafkahnya selama tempoh tiga tahun.

c) Bahawa suami telah dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih

d) Bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinan (nafkah batin) selama tempoh satu tahun

e) Bahawa suami menganiayainya, iaitu antara lain:

  1. lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniya (ketidakpuasan seks adalah satu penderitaan batin), atau
  2. berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak, atau
  3. cuba memaksa isteri hidup secara lucah, atau
  4. melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu dari menggunakan hak-haknya di sisi-undang-undang terhadap harta itu, atau
  5. menghalang isteri dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya, atau
  6. jika ia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak

f) Bahawa walaupun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya.

g) Apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau fasakh di bawah Hukum Syarak.

Dengan peruntukan undang-undang di atas, tiada alasan lagi mengapa si isteri perlu malu untuk mengadu kepada Mahkamah Syariah dan tidak sepatutnya si isteri berkelakuan curang atau mencari lelaki lain sebelum bercerai dengan suaminya. Atas sebab ini, hukuman rejam sampai mati yang dianjurkan islam kepada penzina yang telah berkahwin amatlah tepat dan bersesuaian terhadap orang yang sengaja menzalimi diri sendiri dengan perbuatan terkutuk itu!

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina maka rejamlah tiap-tiap mereka 100 kali rejam, dan janganlah disebabkan rasa simpati menyebabkan kamu gagal melaksanakan hukum Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. dan hendaklah pelaksanaan hukum Allah disaksikan oleh sekumpulan orang (An-Nuur 24;2).

Semoga dengan penerangan yang jelas dan panjang lebar ini dapat membantu saudari dalam menasihati teman saudari itu. Sama-sama kita doakan semoga Allah melindunginya dan elakkan beliau dari terus curang dan melakukan perbuatan terkutuk itu. Islam itu mudah dan sangat adil, ikutilah cara yang telah digariskan. InsyaAllah semuanya akan dapat diselamatkan dan diselesaikan dengan baik.

Saya bukan menggalakkan supaya mereka bercerai, namun jika sudah 10 tahun mengadu dan si suami tidak mengambil sebarang tindakan, perbuatan ini samalah seperti menyiksa batin si isteri. Mengadu kepada Mahkamah Syariah dan meminta tunjuk ajar dari mereka adalah jalan terbaik. Tentang hukum samada si isteri boleh menuntut cerai atau tidak, di atas itulah jawapan saya.

Alasan mengapa lelaki pilih Poligami

Poligami kelihatan seperti sebuah tema yang selalu mencetuskan kontroversi dalam masyarakat. Penyebabnya adalah kerana poligami ini sah secara hukum agama, tapi tetap saja ada segi etika yang menjadi perbincangan.

Kita boleh melihat, misalnya dari sisi perasaan isteri yang dipoligami. Siapa yang ingin dimadu oleh suaminya sendiri? Mungkin sangat jarang perempuan yang nak dimadu. Jikapun mahu dimadu, maka mungkin ada sedikit ketidakrelaan yang muncul dan berusaha disembunyikan.

Alasan mengapa lelaki pilih Poligami

Meskipun demikian, salah satu alasan kenapa poligami menjadi kontroversi adalah kerana perbuatan ini disebut atau dianggap sebahagian kalangan, sebagai salah satu perbuatan yang berpotensi menghina perempuan. Apakah ini hanya sebatas untuk penyaluran hasrat seksual atau alasan lain?

Namun, jika kita melihat lebih dalam dan menganalisa lebih jauh, poligami ini merupakan penyelesaian terhadap masalah tertentu. Poligami dapat dibenarkan dengan ketentuan yang ketat, yang diatur oleh negara mahupun agama.

Misalnya, poligami mungkin boleh dibenarkan jika seorang suami ingin keturunan, namun sang isteri tidak boleh memberikannya keturunan, kerana alasan sakit dan sebagainya. Masalahnya, cerai bukanlah jalan keluar terbaik bagi sebuah rumah tangga. Poligami adalah jalan keluar yang terbaik. Sebab, isteri pertama masih akan tetap mendapat nafkah dari suaminya.

Sedangkan cerai boleh saja berakibat buruk bagi isteri pertama. Si isteri pertama tidak akan mendapat nafkah dan tidak boleh lagi berdampingan dengan lelaki yang dicintainya.

Tentu saja, suami harus berlaku adil sesuai dengan undang-undang yang berlaku.

Walau bagaimanapun juga, pada kenyataannya, poligami ini merupakan suatu jalan yang dibenarkan, dengan syarat-syarat yang ketat, menurut hukum negara mahupun undang-undang agama tertentu.

Berikut ini beberapa alasan yang paling biasa ditemui dalam masyarakat:
1. Isteri tidak boleh memberikan keturunan.
2. Isteri tidak boleh memuaskan lelaki untuk urusan ranjang, boleh kerana alasan sakit atau kerana masalah lain.
3. Isteri tidak boleh memberikan kepuasan suami, dalam hal rohani maupun jasmani.
4. Sang suami mencintai perempuan lain, sedang ia tidak ingin melepaskan isteri sahnya.
4. Suami ingin meyalurkan hasratnya terhadap perempuan lain, dengan jalan yang dibenarkan.
5. Suami ingin menambah keturunan, sementara mungkin isteri sudah tidak boleh lagi memberikan keturunan, atau ingin keturunan dari perempuan lain.
6. Ingin membantu sebuah keluarga atau perempuan, dalam segi ekonomi atau hal lain.
7. Berniat ibadah dengan jalan yang sesuai dan tepat, yang diatur dalam agama Islam.
8. Perkahwinan pertama tidak mendapat restui dari pihak keluarga, baik itu dari pihak lelaki atau perempuan.
9. Merasa sanggup untuk berbuat adil, kerana cukup bahan dan cukup pengetahuan.
10. Suami tidak merasa bahagia dengan rumah tangga pertamanya, atau kerana ada masalah lain.

Sepuluh alasan di atas adalah alasan yang paling biasa, yang didapati oleh sebuah rumah tangga. Terlepas dari benar atau salah, kenyataannya poligami ini adalah jalan keluar yang boleh dibenarkan, dengan syarat yang ketat menurut agama.