“Saya akan perhati semua menteri penuh yang berasal dari Perak,” – TPM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membuat pantauan terhadap kesemua pemimpin yang berasal dari negeri Perak yang dilantik menjadi menteri penuh.

Zahid dalam ucapannya berkata, beliau akan terus melakukan pemerhatian terhadap menteri-menteri tersebut sama ada mampu menggalas tugas yang diberikan kepada mereka.

Ujarnya, meskipun setiap menteri tersebut termasuk dirinya telah menjadi menteri di peringkat persekutuan serta mempunyai kementerian serta portfolio masing-masing, tetapi ia merupakan berkat daripada sokongan semua pihak dan tidak seharusnya mengabaikan negeri asal mereka.

“Allah telah mentakdirkan bahawa enam anak Perak telah menjadi menteri penuh bagi mewakili negeri Perak.

“Maka tidak munasabah walau kita berada di peringkat pusat dan nasional, kalau ada di kalangan kita termasuk saya gagal membawa pembangunan ke negeri Perak untuk menjadikannya sebagai satu negeri yang maju di Malaysia ini.

“Saya beritahu rakan-rakan saya, jangan pernah ambil kesempatan daripada kedudukan mereka, tetapi ambillah mana-mana yang sempat untuk membawa pembangunan di perak,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Bersama TPM yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, pada Rabu.

Turut hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambri Abd Kadir, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Tegas Zahid lagi, meskipun beliau baru dilantik untuk memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, namun beliau tetap akan memerhati bagi memastikan kesemua menteri berkenaan melakukan tanggungjawab yang telah diamanahkan terutamanya dalam membawa pembangunan di Perak.

Antara menteri tersebut ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Hamzah Zainudin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz serta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

“Kalau ada maklum balas daripada tuan-tuan dan puan-puan, jika terdapat salah seorang daripada mereka tidak membawa pembangunan di negeri Perak… beritahu saya.

“Sebab saya berjanji pada diri saya dan berjanji dengan Sultan Perak bahawa titah Tuanku untuk melihat anak-anak Perak yang berada di peringkat nasional mesti membantu negeri asalnya dari segi pembangunan,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada semua menteri yang dilantik untuk tidak terlalu gembira dengan perlantikan tersebut.

“Saya ingin mengingatkan diri saya, dan kita semua, jangan pernah terlalu bersuka cita dengan kesedihan orang lain… Dalam kita suka, ada insan yang bersedih.

“Oleh sebab itu, apa yang harus ada pada kita bukan sahaja istiqamah tetapi juga tawaduk kerana itulah saya tahu bahawa jawatan kita ini adalah kesementaraan,” kata beliau lagi.

‘Dr M pun ada benda tak jawab sampai sekarang’

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dianggap tidak patut bertindak mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka.

Ahli Jawatankuasa Biro Perangan Umno Terengganu, Abu Bakar Ghani berkata, Dr Mahathir turut mempunyai beberapa persoalan yang masih belum dijawab sehingga kini ketika zaman pentadbirannya.

Sehubungan itu menurutnya, tidak sepatutnya Dr Mahathir melakukan tindakan menggesa Najib menjawab tuduhan terhadap kepimpinannya seolah-olah menggambarkan kepimpinan Najib lemah .

“Kritikan Dr Mahathir tidak boleh diterima seratus peratus. Kalau hendak kira, masa Dr Mahathir perintah dulu ada beberapa isu seperti Petronas dan KWSP tidak dijawab sampai sekarang.

“Jadi, biarlah Dr Mahathir dengan cara dia tetapi saya rasa tiada siapa setuju dengan cara beliau terhadap Najib itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Abu Bakar bagaimanapun tidak menolak apa yang dikatakan Dr Mahathir itu boleh mempengaruhi rakyat disebabkan beliau mempunyai pengaruh tersendiri dalam negara.

Dr Mahathir dalam blognya, chedet.cc sebelum ini mendakwa rakyat tidak mempercayai kepimpinan Najib lagi.

Dr Mahathir sebelum ini lantang menegur kepimpinan dua perdana menteri selepasnya, bukan sahaja Najib tetapi termasuk Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam blognya, Dr Mahathir berkata, ramalan yang dibuat masyarakat kini ialah Umno dan BN akan kalah dalam PRU14 kerana terlalu banyak tuduhan dibuat terhadap Najib yang tidak dijawab olehnya.

Selain itu Dr Mahathir berkata, rakyat hilang kepercayaan kepada Najib kerana dasar pemerintahan beliau terhad kepada pemberian wang percuma serta menimbulkan kemarahan orang Melayu dengan mengetepikan Dasar Ekonomi Baru.