Isu Hudud Dikelirukan

hukum hududCadangan pindaan Enakmen Jenayah Kanun Syariah (EKJS) melalui Bill Persendirian yang akan dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di parlimen disifatkan sebagai sangat cantik.

Bagaimanapun kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, disebabkan masa tidak mengizinkan maka ia tidak dapat disampaikan untuk dikaji oleh semua pihak.

Beliau yakin, jika cadangan berkenaan EKJS itu berjaya disampaikan 100 peratus, semua pihak bukan sahaja Pakatan Rakyat malah tidak mustahil MCA dan Gerakan yang kuat menentang pun akan menerimanya.

Katanya, tugas PAS adalah mencari jalan agar agenda yang dibawa oleh Ustaz Hadi boleh difahami oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

“PAS nak bawa pindaan itu ke parlimen, kita memerlukan sokongan sekurang-kurangnya daripada ahli parlimen yang beragama Islam.

“Ahli Parlimen beragama Islam itu termasuklah daripada DAP dan PKR. Jadi, saya berpendapat jalan memberikan penerangan adalah lebih baik untuk kejayaan pindaan yang dicadangkan.

“Saya tak reti nak bergaduh macam orang lain, saya mempertahankan dengan cara saya, iaitu supaya agenda Presiden PAS itu berjaya, orang yang tidak faham dan tidak menyokong bukan kerana dia menentang tetapi kerana dia belum faham,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Batu Gajah kali ke-29 di D’Hotel, Seri Iskandar, dekat sini semalam.

Husam juga berkata, parti komponen BN di Sabah dan Sarawak termasuklah PBB dan SUPP yang berdiam diri dalam isu ini membuktikan mereka boleh menerima EKJS bahkan diyakini akan menyokong jika BN menyokong bill persendirian tersebut.

Ini katanya adalah satu perkembangan yang sangat baik dan jika PAS berjaya memberikan penjelasan dengan baik, beliau yakin ia akan boleh diterima oleh kedua-dua belah pihak.

“Saya yakin bahawa semua pihak termasuklah dari kalangan komponen BN sendiri akan boleh menerima apa yang dibawa oleh Presiden PAS,” ujarnya lagi. -HD

KOS DISEBALIK PENJAGAAN MEMINJAM PANDA DARI CHINA

Di sebalik ketibaan kedua panda Fu Wa dan Feng Yi ke Malaysia, pasangan panda atas dasar setiakawan serta pinjaman, ia turut membabitkan kos yang terpaksa ditanggung oleh Malaysia.

panda

Untuk tempoh 10 tahun, Malaysia perlu membayar kepada China sekitar RM3 juta kepada China setiap tahun untuk membela haiwan berkenaan. Perkara itu sepertimana dipersetujui dalam Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi yang ditandatangani antara Malaysia dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China pada 15 Jun 2012.

Untuk menempatkan pasangan panda, dianggarkan RM25 juta dibelanjakan untuk membina kompleks panda gergasi di Zoo Negara melibatkan kawasan eksibit khas berkeluasan 1.6 hektar.

Sejumlah RM15 juta ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) manakala bakinya oleh kerajaan. Kos penjagaan panda oleh Zoo Negara pula dianggarkan RM1.5 juta setahun.

Sekiranya kedua panda membiak, Malaysia perlu membayar China sebanyak RM2 juta dan hanya boleh menyimpan bayi panda itu untuk tempoh 2 tahun.

Kesediaan kerajaan China meminjamkan beruang panda itu disifat sebagai simbol keakraban hubungan kedua negara yang bakal meraikan ulang tahun ke-40 jalinan diplomatik sejak 1974. – www.astroawani.com

Fakta sepintas lalu :  Mengenai kos, menurut sumber setakat ini kerajaan membelanjakan kira-kira RM60 juta termasuk untuk pembinaan rumah untuk haiwan berkenaan yang berjumlah RM25 juta, RM20 juta untuk tempoh sewaan selama empat tahun dan RM15 juta untuk kos penyelenggaraan.