Pelajar 14 tahun maut dilanggar Toyota Avanza

Hari pertama ke sekolah dengan menunggang basikal membawa padah kepada pelajar berusia 14 tahun apabila dia maut dilanggar kenderaan pelbagai guna di Jalan Tembila, di sini, semalam.

kemalangan

Dalam kejadian jam 7.20 pagi, mangsa, Nurul Syahindah Mohd Paizu yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Renek, di sini, maut selepas dilanggar Toyota Avanza dipandu lelaki berusia 43 tahun.

Kemalangan itu menyebabkan mangsa parah di leher.

Nenek mangsa, Limah Mamat, 71, berkata, kebiasaan cucunya dihantar ibu saudaranya ke sekolah.

“Bagaimanapun, hari ini (semalam) kali pertama arwah menaiki basikal ke sekolah kerana selalunya dihantar ibu saudara.

“Arwah juga memilih berulang-alik ke sekolah berbanding tinggal di asrama. Arwah berbuat demikian kerana dia mahu khatam al-Quran,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurut Limah, dia rapat dengan cucunya itu kerana menjaganya sejak kecil disebabkan bapanya tinggal di Kuala Lumpur.

“Kali terakhir saya bertemu arwah pada pagi sebelum kejadian. Ketika itu saya baru selesai menunaikan solat Subuh dan arwah pula tergesa-gesa ingin keluar awal dan memberitahu dia akan pulang jam 4 petang.

“Tiada perubahan pelik ditunjukkannya, tetapi arwah seolah-olah dapat berasakan dia akan pergi buat selama-lamanya apabila malam sebelum kejadian, dia ada beritahu guru al-Quran yang mengajarnya dia tidak dapat menghabiskan bacaannya,” katanya.

Difahamkan, mangsa dan adiknya, Amirul, 11, tinggal bersama neneknya selepas bapanya berkahwin lain dan menetap di Kuala Lumpur. Ibu mangsa meninggal dunia ketika dia berusia empat tahun.

Bapa saudara mangsa, Mohamad Sanusi Jusoh, 40, berkata, anak saudaranya itu seorang yang pendiam, tetapi baik dengan seluruh ahli keluarga.

Menurutnya, arwah juga pelajar cemerlang dan disenangi guru di sekolahnya serta jiran terdekat.

“Kehilangannya amat dirasai, tetapi seluruh ahli keluarga reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk proses bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– Harian Metro

header

Tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.