Seks Tidak Perlu Tiru Filem!

Mungkin ramai lelaki akan menyangkal dakwaan bahawa mereka adalah golongan yang gemar menonton filem 18sx. Hakikatnya kebanyakan lelaki memang begitu. Mungkin tidak semua, tetapi kebanyakan kita terdorong untuk menonton filem dalam kadar rating ini. Mengaku atau tidak, lelaki memang tercipta untuk mempunyai hormon testosteron yang tinggi. Malah, menerusi kajian University of California, wanita mampu meningkatkan hormon testosteron dan kortisol lelaki. Maka cara inilah yang boleh digunakan oleh kaum lelaki untuk memperbaiki rangsangan dan hubungan seks, tanpa perlu meniru filem.

Seks Tidak Perlu Tiru Filem!

TESTOSTERON

Merupakan sejenis hormon steroid daripada kumpulan androgen. Hormon ini lazimnya dihasilkan oleh testis lelaki dan ovari perempuan. Secara purata, lelaki dewasa menghasilkan antara 40 hingga 60 kali lebih banyak hormon ini berbanding perempuan. Memandangkan ia merupakan steroid anabolik dan hormon seks utama lelaki, ia membantu dalam penghasilan sperma dan merangsang perkembangan ciri seks sekunder pada seorang lelaki seperti pembentukan otot yang kasar, misai serta perubahan suara.

URUTAN

Kehangatan tatkala bersama isteri mempunyai banyak dimensi. Urutan adalah salah satunya. Sentuhan sensasi mampu memberi rasa nyaman dan seksi buat pasangan anda. Ubah cara di mana hanya isteri yang kerap memainkan peranan mengurut. Anda juga boleh melakukan urutan di badan isteri supaya isteri memberi tindak balas yang dinanti.

ARAHAN

Kadangkala, sifat naif isteri memberi perasaan baru yang sangat menarik buat anda. Apabila isteri buat-buat tidak tahu dan menunggu arahan anda dengan nada yang lembut akan memberi pemanasan yang baik sebelum bersama. Isteri yang naif akan membantu memberi respons yang baik sebaik saja anda mula mengajarnya. Kemudian, giliran anda pula meminta tunjuk ajar daripada isteri.

FANTASI

Tidak salah berkongsi fantasi bersama isteri. Isteri mungkin mahu layanan yang lain dari yang lain. Melihat isteri tanpa menanggalkan solekan atau barangan kemas yang dihadiahkan ketika awal-awal perkahwinan dulu mampu memberi rasa ‘mewah’ buatnya. Perasaan berbeza mungkin juga terasa tatkala melihat kejelitaan isteri memakai gincu merah biarpun rambut kusut masai! Inilah salah satu fantasi yang boleh anda cipta bersama pasangan.

TOLAK ANSUR

Jika anda bertolak ansur ketika bersama isteri di kamar, isteri akan membalas ‘jasa’ anda pula. Bukankah itu yang anda tunggu? Usah tergopoh-gapah di dalam melayari nikmat suami isteri. Isteri perlu ‘panas’ terlebih dulu sebelum mahu memulakan perjalanan yang jauh bersama anda.

UCAPAN

Meskipun ia dianggap basi, ungkapan cinta ketika sedang berdating atau ketika menonton televisyen tidak sama dengan ungkapan cinta ketika di dalam dakapan. Percayalah bahawa kata-kata cinta dan pujian seorang suami membuatkan isteri berada dalam keadaan selesa. Isteri mungkin tidak mahu lepas daripada pelukan anda pada keesokan harinya.

Ramai lelaki menyangka momen-momen bersama isteri di kamar adalah perkara biasa yang tidak ada tarikan. Padahal, anda hanya perlu lakukan beberapa perkara baru di dalam perhubungan supaya hubungan suami isteri sentiasa segar. Tolak tepi filem-filem lucah yang boleh merosakkan minda. Anda sendiri boleh menjadi suami yang kreatif buat isteri tersayang dan hero di luar filem.

Tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.