Selepas demo Turun, apa selepas ini?

Seperti yang dijangkakan, letupan bom, rusuhan bersenjata dan berbagai lagi kekecohan yang diwar-warkan akan berlaku di Himpunan Turunkan Kos Sara Hidup (Turun) tidak berlaku.

turun

Begitu juga dengan hebahan media pro-Umno bahawa kerajaan persekutuan akan digulingkan. Setelah kelompok aktivis terakhir habis mengutip sampah yang bertaburan di tapak protes lewat malam itu, Barisan Nasional (BN) masih lagi kuasai tampuk kerajaan.

Pemerhati yang sinis bertanya apakah protes tersebut mencapai tujuannya?

Tarif tol dan elektrik tetap akan naik. Harga bermacam barangan, seperti ayam, kasut sekolah anak, konkrit untuk pembinaan dan kusyen kereta masih akan naik.

Pada April tahun depan, hampir semua harga barangan dan perkhidmatan akan naik lagi sebanyak 6% dengan terlaksananya cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Walaupun kehadiran pada malam itu memberangsangkan, kebanyakan mereka adalah lelaki muda berumur 20-an yang rata-rata penghuni bandar dan pelajar.

Bukan seperti lautan manusia yang hadir di kedua-dua himpunan Bersih yang terdiri daripada berbagai lapisan komuniti, pekerjaan, pendapatan dan tempat duduk.

Pada malam itu, ahli keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak banyak kelihatan.

Jadi apakah kesan himpunan tersebut? Adakah ia seperti himpunan anti-BN yang diadakan sebelum ini seperti “Blackout 505” (yang memprotes penipuan pilihan raya) yang berjaya mengumpul berpuluh ribu perserta tetapi hanya diingati hari ini oleh segelintir orang?

Seorang wakil rakyat PAS Johor, Sheikh Ibrahim Salleh, tidak yakin impak protes terhadap kehidupan rakyat.

“Kita boleh melalak dan menjerit tetapi kalau rakyat tidak marah macam kita, tak guna,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Abong itu yang kini berkhidmat selama dua penggal.

Sheikh Ibrahim berpendapat adalah lebih baik jika kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan memperkenalkan program kebajikan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“Kita boleh hebohkan program-program tersebut kepada rakyat negeri BN bagi menarik mereka untuk menyokong kita.”

Beliau juga merasakan setakat ini orang kampung masih tidak merasai kenaikan harga barang.

Seorang lagi Adun PR, Yaakob Sapari berkata pentadbiran BN seperti tidak mengendahkan luahan hati penduduk bandar yang berasa semakin terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup khususnya kenaikan tol.

“BN nampak begitu nekad tak peduli dengan sokongan orang bandar. Diaorang nak jaga penduduk kampung sahaja,” kata Yaakob, yang merupakan Adun Kota Anggerik di Selangor.

Apabila orang kampung mula merungut tentang kenaikkan harga barang kata mereka, BN akan tabur Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti di dalam Pilihan Raya Umum ke-13 bagi menyejukkan hati orang kampung.

Menurut logik ini, himpunan seperti Turun yang mendapat sokongan penduduk bandar dan separa bandar tidak akan diendahkan pentadbiran BN yang hanya mahu menjaga hati orang kampung yang telah memberikan mereka kuasa.

Akan tetapi, Dr Wong Chin Huat berkata BN mengambil risiko yang tinggi sekiranya ia tidak mengendahkan kemarahan rakyat yang ditunjukkan di dalam himpunan dan sokongan penduduk bandar.

“Apabila harga naik ia akan memberi kesan kepada orang bandar dan orang kampung. Sekiranya barangan di kampung lebih murah di bandar, kemungkinan orang bandar akan berpusu-pusu membeli barangan di kampung.

“Oleh itu, orang kampung juga akan menerima kesan yang besar daripada kenaikan harga barang,” kata pakar sains politik daripada Penang Institute itu.

Walaupun himpunan seperti Turun dipromosikan dan dikerumuni orang bandar, mesej yang dibawa akan mendapat sokongan lebih ramai orang apabila kehimpitan dari harga barang naik semakin dirasai di kawasan bandar dan luar bandar.

“Tujuan mengadakan himpunan adalah untuk menguwarkan satu mesej daripada peserta himpunan kepada orang yang sama-sama menderita. Mesejnya adalah mereka bukan keseorangan.

“Kami juga menderita dan mari ikut kami supaya kita bersama-sama memperjuangkan nasib yang sama.”

Malah, boleh dikatakan propaganda yang dimainkan oleh media pro-BN bahawa Turun adalah untuk menggulingkan kerajaan adalah untuk menyembunyikan mesej sebenar himpunan tersebut daripada masyarakat desa.

Ini kerana, seperti yang telah dikatakan badan-badan bukan kerajaan yang menyertai Turun, acara tersebut hanya permulaan di dalam kempen berterusan untuk menentang kenaikan harga barang, ketirisan dan rasuah kerajaan dan GST.

Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu juga pernah berkata di dalam sebuah wawancara pada 18 Disember lalu bahawa himpunan sedemikian akan diadakan seluruh negara sepanjang tahun ini.

Mohamad berkata himpunan-himpunan tersebut akan membina momentum bagi himpunan raksasa yang akan diadakan pada Hari Pekerja Sedunia 1 Mei.

Dalam erti kata lain, Turun diadakan pada satu hari yang simbolik – seperti sambutan yang meraikan kedatangan sesuatu tahun yang baru, himpunan itu bagi memulakan sesuatu gerakan yang baru.

“Himpunan itu adalah tanda awal bagi kerajaan,” kata Wong.

“Mereka boleh sedar bahawa ada sesuatu yang tidak kena di dalam negara dan menyelesaikan masalah itu.

“Atau mereka boleh ambil sikap sambil lewa dan membiarkan api kemarahan jadi lebih besar dan serius sehingga tidak dapat mengawalnya.”

Ingat, kebanyakan peserta Turun adalah pelajar yang kebanyakannya belum mengundi dalam pilihan raya akan datang.

Mereka akan mengundi dan akan pulang ke kampung bertemu ibu bapa dan saudara mara bagi mempengaruhi mereka agar menolak BN kerana BN adalah Barang Naik. – themalaysianinsider

Iklan Berbayar

pek baru

Tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.